Saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. di atas usaha gigih
Persatuan Pendidikan Sains dan Matematik Negeri Johor
menganjurkan Seminar Kebangsaan Pendidikan Sains dan Matematik.
Sesungguhnya seminar pendidikan seperti ini adalah amat bermakna
dalam usaha mempertingkat kualiti pendidikan khasnya pendidikan
Sains dan Matematik.
Kepentingan ilmu Sains dan Matematik dalam pembangunan dan
kesejahteraan Negara adalah tidak dapat dinafikan. Penguasaan
dan penghayatan ilmu dalam bidang ini bukan sahaja penting untuk
pembangunan, malah untuk menjamin kelestarian sumber alam agar
generasi akan datang dapat menikmati kehidupan yang berkualiti.
Selaras dengan keperluan ini, maka usaha mempertingkat mutu
pendidikan wajar diberi perhatian yang serius. Semua warga
pendidik di setiap peringkat perlu bersama-sama mengembeling
tenaga ke arah mewujudkan pendidikan yang berkualiti agar
generasi akan datang mempunyai ilmu dan kemahiran yang memenuhi
keperluan semasa.
Pendidikan Sains dan Matematik pada masa ini bertambah mencabar
dengan pelaksanaan dasar Pengajaran Sains dan Matematik dalam
Bahasa Inggeris (PPSMI). Semua warga pendidik perlu melengkapi
diri dengan kemahiran yang mencukupi agar proses pengajaran dan
pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan. Kemahiran ini
adalah seperti kemahiran berbahasa, pedagogi serta penguasaan
kandungan subjek yang berkaitan. Usaha mempertingkat kemahiran
perlu dilaksanakan secara berterusan selagi tugas sebagai
pendidik masih dipikul.
Seminar pendidikan Sains dan Matematik seperti ini merupakan
satu wadah perkongsian ilmu yang sangat bermakna kepada warga
pendidik. Di samping berkongsi ilmu dan pengalaman, pertemuan
ilmiah ini juga berupaya mencetus idea-idea ke arah pembangunan
pendidikan. Jabatan Pelajaran Johor sangat berterima kasih di
atas usaha Persatuan Pendidikan Sains dan Matematik dan berharap
usaha seumpama ini akan dapat terus dilaksanakan demi
memartabatkan bidang pendidikan.
Sekian, terima kasih.

HAJI SUFA’AT BIN TUMIN
Pengarah Jabatan Pelajaran Johor |